Home » , » Memori Abah (Bahagian Satu)

Memori Abah (Bahagian Satu)

Empayar Utama - Friday, December 31, 2010 : 4 comments

Bacalah adik-adikku, bacalah anak-anakku... Kisah tentang naluri dan perasaan seorang bapa buat tatapan semua. Aku juga seorang bapa dan garapan ini dibuat dengan bahasa yang paling mudah untuk difahami. Cekal dan tabah dalam hidup yang serba sederhana mendidik dan menghidupkan rasa hormat anak-anak kepada orang tua secara semulajadi. Bacalah ~ Empayarutama

Abah jenis yang tak banyak bercakap kalau dia ada kat rumah. Dia anak sulung daripad 6 beradik dan dibesarkan di sebuah perkampungan yang rata rata penduduknya pekebun dan juga nelayan. Pernah ditawarkan menjadi guru sekolah Melayu tetapi cita-citanya ingin pekerjaan beruniform.

Selepas habis darjah 6, abah cuma ikut atuk kerja kampung. Oleh kerana cita-citanya, abah diam-diam ke Singapura masuk askar. Tapi zaman itu atuk perempuan amat takut anaknya ditembak komunis atau tentera Jepun jadi nenek pujuk abah balik ke kampung. Punah harapan abah...

Sempat gak masuk askar

Lepas tu abah kerja di Jabatan Parit Dan Taliair - JPT (dah ditukar nama kepada Jabatan Pengairan Dan Saliran - JPS) sebagai pembersih laluan taliair. Kerjanya membersih dan menebas semak belukar dengan bayaran 35 ringgit sebulan. Pernah abah dibacakan Yasin beramai-ramai selepas katanya tertetak seekor anak haruan waktu kerja. Masa tu abah kata dia nampak setiap orang yang datang naik rumah, siapa yang duduk kat luar, siapa hantar beras, gula, kopi dan lain-lain lagi walaupun masa tu dia tengah terbaring kat dalam bilik. Inilah kuasa Allah yang masih mengizinkan abah untuk menerus hidup.


Abah bertemu jodoh dengan mak sewaktu bekerja di kampung mak. Masa tu abah pakai basikal sporty, dan satu motor besar tapi takde dah lepas kemalangan dan mak patah kaki. Time aku dah kenal dunia, kami ada 3 beradik dan menyewa sebuah rumah satu bilik di sebuah pekan dalam Daerah Pontian. Masa tu aku baru perasan abah beli Vespa.


Bukan takat gali sungai dan taliair aja, abah juga ditugaskan menggali mayat yang tertimbus ke dalam tanah di Bukit Batu, Kulai, Johor satu masa dulu. Alhamdulillah walaupun hampir 15 meter dalam, mayat sempurna dinaikkan tanpa cacat oleh mata gigi jangkaut.

Abah dah naik pangkat jadi operator jangkaut berantai (berantai kerana guna jangkaut yang tidak beroda). Kami masih hidup sederhana, ada radio lama dengan suis besar dan kena pusing satu pemutar untuk mainkan album. Lain lain perabut tak ada pun. Almari pakaian abah buat sendiri - hadiah kahwin kata mak. Almari lauk pun abah buat sendiri. Perangai abah aku tengok dia ni tak pandai duduk diam. Balik kerja dalam pukul 4 mulalah bertukang sana sikit, sini sikit. Dan abah pandai jahit baju guna mesin jahit. Tiap kali sambut raya, kami pakai baju raya abah buat. Abah pernah amik upah buat set kerusi dan almari dapur dari jiran.

Antara perabot hasil kerja tangan abah (almari pakaian tu buat hadiah kawin mak), semua masih elok lagi

Masa tu gaji abah belum cecah tiga ratus. Tapi abah masih dapat belikan mak barang kemas, masih dapat sekolahkan kami 3 beradik. Adik bongsu kami (ahli keluarga keenam) lahir dengan jarak sepuluh tahun dari usia adik ketiga. Terus terang aku katakan abah tak pernah merotan kami adik beradik - tugas yang dipegang oleh mak hinggalah kami semua dewasa. Tapi kenapa rasa hormat kami kepada abah cukup tinggi? Abah cuma bercerita ala kadar waktu makan. Kami dididik untuk makan bersama ahli keluarga baik waktu sarapan, makan tengahari, minum petang (kalau mak buat kuih) dan makan malam. Mungkin ini punca kami amat akrab dan rasa hormat tu wujud.

Jawablah...

Walaupun abah bekerja balik petang, abah tak pernah lupa bawak aku dan abang ke masjid setiap hari untuk berjemaah maghrib dan setiap minggu untuk bersembahyang Jumaat. Malu aku pada Aiman anak aku, juga pada abah kerana setakat ini tak lebih sepuluh kali aku dapat bawak dia ke masjid pada hari Jumaat.

Bab makan kat luar - time tu belum ada lagi restoran makanan segera. Abah pernah juga bawa kami sekeluarga makan sate kat kedai, melawat Expo Pembangunan di Batu Pahat dan ikut mereka menonton wayang cerita Hindustan. Anak-anak aku pula boleh kata tiap minggu ajak makan kat luar.

Tidak ada rengekan, rajukan atau tangisan dari kami andai abah tidak beli apa yang kami mahu. Mungkin dulu tak banyak benda yang anak-anak inginkan daripada orang tua mereka, tidak seperti zaman sekarang. Aku kalah dengan abah dalam hal ini.

Walaupun kurang berkomunikasi dengan anak-anak, cara hidup berjiran dan bermasyarakat dalam hidup abah amat berbeza. Abah aktif berpersatuan. Dia antara jawatankuasa PIBG sekolah di kampung walaupun kami tak sekolah di sana; jawatankuasa PIBG sekolah kami; setiausaha UMNO cawangan dan yang lebih buat aku pening - orang akan rujuk pada abah berbanding ketua kampung. Tiap malam Sabtu rumah kami akan meriah kerana latihan kompang dan mak akan sibuk memasak.

Ada masanya abah akan join main sepak takraw depan balairaya kalau tidakpun main badminton sebelah klinik. Di sini aku mengaku, aku kalah lagi dengan abah walaupun 18 tahun buat PR dalam kerja. Ramai orang cuma baik dengan aku sebab ada kepentingan. Aku dah kena 3-0 dengan abah.

Mak dan Abah

Aku mangsa kes Denggi Berdarah pertama di Negeri Johor dan kena kuarantin bersendirian dalam kelambu di hospital yang jaraknya 36 km dari rumah. Waktu itu aku dalam darjah tiga. Dua minggu di sana tanpa ubat sebab masa tu penyakit ni baru lagi, abahlah peneman aku siang dan malam. Kebetulan atuk lelaki belah abah juga sakit tua dan ditempatkan di hospital yang sama. Allah lebih sayangkan atuk aku... dan aku tak faham apa-apa masa tu. Abah dalam situasi yang amat sukar. Tapi sebagai anak sulung, apa agaknya perasaan abah?

Abah pernah kata, kalau gaji dia sampai tujuh ratus, mungkin dapat beli kereta. Tapi abah tak pernah dapatpun beli. Time tu kami dah menyewa kat tempat lain. Abah tak duduk kuarters tak tau kenapa. Agaknya sebab abah jadi Jawatankuasa Kesatuan Pekerja Rendah (IMG) jadi susah nak dapat kot. Abah macam ada cakap orang nak duit kalau nak dapat kuarters dan dia tak suka macam tu.

Aku pernah cerita sebelum ni abah pernah buat dan ada 3 rumah sendiri tapi semua tak kekal sampai abah kata "mungkin kita memang kena hidup menyewa sampai abah pencen" dan aku ingat dua harapan abah tu - kereta dan rumah sendiri. Aku akan cuba usahakan.

Walaupun masih budak, aku semacam faham masalah abah. Pernah masa aku dapat tawaran ke asrama nun jauh di pantai timur untuk ke tingkatan satu, abah dengan Vespa buruknya berkunjung ke rumah adik beradik dan ipar duai untuk mintak bantuan. Dari riak muka abah masa sampai rumah satu malam tu, aku faham abah kecewa sebab pulang tangan kosong. Masa nilah hidup berkawan amat penting kerana kawan-kawan abahlah yang datang hulur bantuan. Nasib jugak menyebelahi kami kerana aku layak dapat pinjaman MARA selepas tu. Tapi abah tak pernah lupa kirim dua puluh ringgit tiap bulan untuk aku. Terima kasih abah.

Selamat Hari Jadi Abah, Semoga Panjang Umur Dan Dimurahkan Rezeki

Dalam semua ahli keluarga, akulah yang paling banyak menghabiskan duit, masa dan keringat abah. Sewaktu tingkatan tiga, sekolah cutikan aku satu semester (6 bulan) kerana sakit. Ramai tukang ubat datang dan pergi, ada yang tak sanggup teruskan rawatan dan ada jugak yang menipu duit abah. Masa nilah kami kenal dan rapat dengan satu keluarga daif yang pernah aku ceritakan dalam entri sebelum ni. Pun mengambil kesempatan jugak rupanya. Abah sampai jual motor dan pergi kerja menumpang kawan aja. Masa tu kami duduk rumah kedua (bacalah entri aku pasal Hadiah Teristimewa) tak sempat siap sebab duit habis kat penyakit aku. Beratap nipah, bocor sana sini, dan berlantaikan tanah. Kesiannya abah...

Aku tak boleh bergerak, makan bersuap. Mak akan mengalirkan airmata bila suapkan aku makanan. Aku tak malu dengan keadaan aku masa tu, tapi aku malu dengan persekitaran, dan aku malu pada abah. Kawan-kawan sekelas, guru-guru datang melawat ngam-ngam lepas hujan dan air dari bumbung yang bocor masih menitik ke dalam besen. Air mata kawan-kawan dan guru-guru tak kurang hebatnya bila mereka tengok keadaan aku. Guru Bahasa Malaysia aku yang paling haru kerana dia pernah tulis perkataan tak elok dalam buku karangan aku. Masa tu aku baru jatuh sakit dan tulisan aku hancur sama sekali. Aku tak salahkan dia, sebab dia tak tau.

Aku mula pulih lepas 3 malam berturut-turut abah bawak aku guna motor jiran - buat rawatan kaki lima dari Indonesia. Mulanya abah cari teksi kat pekan sebab takut aku jatuh, iyalah lebih 40 km ke bandar sana. Satu teksipun tak nak pergi. Abah nekad ikat tangan aku lepas peluk dia dan bila sampai terus dokong aku ke tengah gelanggang rawatan yang dipagar tali bernyalakan lampu pam gasolin. Selepas tu aku macam bayi, belajar berjalan, belajar mengangkat pembaris, dan belajar menulis. Alhamdulillah, inilah aku sekarang. Terima kasih abah...

Kerana kebolehan abah dalam hal ehwal enjin jangkaut, abah cuba betulkan satu Fiat 127 dua pintu yang rumput dah naik bercantum kat bumbung kereta. Kawannya bagi aja kereta tu. Boleh abah hidupkan enjinnya dan 5 tahun jugaklah dia pakai. Kami pun dah pindah menyewa kat pinggir bandar (hidup pindah randah sebab abah bertukar tempat kerja). Cuma satu yang aku tak gemar dengan kawan-kawan baru abah macam mempergunakan abah dalam aktiviti berpersatuannya.

Kereta pertama abah - dari besi buruk hingga menjadi perhatian

Masa aku kena transfer ke pusat bandar, aku bagi Civic kiut miut kat abah. Pulak tu dah ada 2-3 orang sibuk nak beli Fiat tu. Abah macam berat je nak lepaskan. Mak kata akhirnya abah jual juga walaupun bergenang air di kelopak matanya. Iyalah, kereta pertama dia dan daripada besi buruk sampai jadi perhatian orang ramai. Pastu keta abah silih berganti.

Antara koleksi kereta abah... Dari Civic '80, Saga '89, Iswara '95, UK Spec (A) '96, ke SR4 (A) '97. Itu yang mampu aku tunaikan.

Kuatnya darah Bugis yang mengalir dalam tubuh abah, banyak kali jugak aku lihat dia mengasah parang pendeknya setajam mungkin. Bukan nak mengamuk tapi itulah kerja dia bila ada majlis perkahwinan atau Raya Qurban. Dia antara yang paling sibuk untuk tugas melapah daging dan memasak. Bakat memasaknya memang nombor satu. Kalau aku buat open house, memang abahlah yang masak. Aku kalah lagi dengan abah.

Satu hari tu, pembantu abah cuti. Jangkaut dia pula jenis takde cermin. Entah macamana ntah boleh terkaut sarang tebuan tanah. Group serangga ni pulak macam tau aja siapa empunya angkara. Tali air yang digali tengah cetek airnya. Tapi abah gagahkan diri start motor dan pergi ke stor JPS yang terdekat sebelum jatuh pengsan. 3 hari abah kat spital dan doktor pun tak dapat berikan jawapan atas nyawa abah yang masih panjang. Doktor cuma berikan satu 'botol sedang lutsinar' Nescafe dalamnya ada dekat 40 ekor tebuan tanah yang melekat kat badan abah masa dibawa ke hospital. Aku tak pasti pihak Jabatan ada bagi pampasan untuk itu tapi rasanya macam tak ada pun. Yang penting abah sihat.

Bersambung esok... Sebab panjang sangat entri ni... Bacalah, dan selamat bertahun baru dengan keluarga tersayang.

related posts plugin for wordpress, blogger...

^_^

4 comments:

  1. terharu baca pengorbanan seorang ayah untuk anak isterinya.

    ReplyDelete
  2. pengalaman mengajar kita untuk tabah dalam kehidupan

    ReplyDelete
  3. terharu baca...tak tahu nak komen apa..



    *tak semua orang merasa kasih sayang ayah

    ReplyDelete
  4. bace entri EU buat sy teringat 1 eksiden yg menimpa abah sy mse abah keje balak mase muda2 dulu. disebabkan nak slmtkan kwn abah dri kena hempap pokok balak yg ditebang tu, abah kena hempap & akibatnya, kaki abah kena potong. mmg org xkan nmpak perubahan kaki abah tapi pd sape yg memerhati betul2, kaki abah mmg pendek sebelah.. & abah sy pon pandai menukang, sy rase zaman dulu ini adalah basic knowledge yg org lelaki semua kena ada, tak cam skang.. kot.. hehe. abah pon slalu buat perabot sendiri n umah pon sndiri.. wlu amek mase berbulan2 lamanya.. taw kan hidup sbg peneroka mmg kais pagi mkn pagi kais ptg mkn ptg.. penah la sy kena bedal sbb jatuhkan botol kicap yg sbulan skali pon susah abah nak beli. tpi alhamdullah skang da senang.. :)

    sedih la bace entri ni.. tak terkata rasenya..

    btw, bugis ea? eh same la.. hehe.. :)

    ReplyDelete

Tulislah apapun, aku baca...