Semalam hari raya kelima, maknanya dah lima hari juga aku kat kampung. Dan tiga empat tahun juga aku perasan makcik sebelah rumah merayakan Idilfitri bersendirian.
Malam raya nampak agak meriah; pagi raya pun begitu. Sekitar sebelas pagi akan muncul satu keluarga berkereta berziarah. Kemunculan mereka tidak lama, sekitar dua tiga jam sahaja sebelum berlalu pergi.
Maka setiap tahun jugalah makcik itu akan tinggal berseorangan sebaik pagi idilfitri kedua menjelma. Rumah kami bukan dekat sangat kerana jarak rumah kampung dalam sepelaung (sekitar 120 meter agaknya). Tapi oleh kerana tanah masing-masing agak bersih jadi aktiviri luar rumah dapat dilihat dengan jelas.
Dan adat berjiran, kami akan menghantar juadah raya ke beberapa rumah jiran terdekat di pagi ifdilfitri. Tahun ini aku berkesempatan untuk bersembang lama dengan makcik sebelah sewaktu menghantar juadah idilfitri. Makcik ni ibu tunggal warga emas dan ditemani salah seorang anaknya yang sudah berkeluarga. Tiap tahun, malam raya kedua anaknya yang ini sekeluarga akan ke kampung belah isteri untuk sambut raya di sana pula. Makcik ini juga punyai beberapa orang anak lagi (semuanya telah berkeluarga) yang masing-masing tinggal sekitar 1-2 jam perjalanan ke rumah makcik. Jadi malam raya mereka memang meriah, sama seperti keluarga lain jugalah kiranya. Kemeriahan itu hanya setakat hari raya pertama.
Lalu aku bertanya tentang satu keluarga yang saban tahun berziarah sekitar jam sebelas pagi. Menurut makcik, itu anak yang paling dekat jarak rumah berbanding anak-anaknya yang lain. Tak sampai sepuluh minit berkereta boleh sampai. Kerja kerajaan, sudah kematian suami, anak-anak semua sudah besar hanya tinggal seorang masih bersekolah rendah. Sajalah aku tanya - kenapa dia tak datang malam raya dan temankan makcik setidak-tidaknya hingga anak makcik yang memang duduk dengan makcik tu kembali dari kampung mertua?
Jawab makcik - dia sibuk.
Aku lelaki, dan aku tidak dapat selami hati nurani seorang perempuan. Baik makcik itu maupun anaknya yang kerja kerajaan tersebut. Anak anak yang lain tak sibuk ke? Tapi bila aku perhati raut wajah makcik tu, tiada bayang kesedihan.
Apakah masing-masing masih menyimpan sesuatu yang tidak terluah? Walaupun bersalam tangis di pagi Idilfitri...
Makcik tu sambung lagi - ni baju ni dialah belikan. Tahun ni makcik dapat dua pasang. Tak tahulah berapa harganya. Ada satu jubah tu harganya dekat seratus, pun dia belikan juga. Wajah makcik nampak ceria bila bercerita tentang itu.
Oh, oh, terus aku minta diri, bersalaman dengan makcik. Ya Allah ampunkan aku. Aku tak pernah terniat membeli kasih sayang seorang ibu walaupun men'sponsor' air bertong-tong, daging, ayam dan ketupat sempena Idilfitri saban tahun. Aku redha korbankan '
sepanjang lima hari raya' setiap kali Idilfitri bermula untuk temankan ibu tersayang yang keseorangan. 'Sepanjang lima hari raya' yang membolehkan isteri aku beraya ke rumah adik beradiknya serta rakan taulan; dan 'sepanjang lima hari raya' yang menceriakan anak-anakku bila mereka dapat beraya bersama kawan-kawan. Semua itu sanggup aku ketepikan dahulu.
Aku berharap isteriku peroleh yang lebih baik melalui anak-anakku (jika aku pergi dulu) berbanding makcik tadi.
Buat isteri, buat anak-anak; semoga kamu semua memahami...