Cerita Yang Jarang Jarang Terkini :

Satu Hari Yang Ceria

EmpayarUtama - Sunday, September 24, 2023 : No comments

16 September 2023 haritu kami berpakat adik beradik untuk pulang ke kampung di Pontian. Pun tak lengkap kerana ada beberapa ahli keluarga yang tidak dapat bersama. Suasananya memang sangat ceria tapi tak dapat aku gambarkan.

Tapi keceriaan kali ini tak ada kena mengena dengan kisah yang aku pernah kongsikan 12 tahun lepas, baik kisah Satu Pagi Yang Ceria; ataupun Semalam Yang Ceria; mahupun Semalam Yang Ceria 2.
Kemeriahan suasananya seperti kami berkumpul bila menyambut raya saban tahun. Cuma kali ini yang berbeza ialah kami dapat makan beramai-ramai serentak, yang memang payah nak dilakukan walaupun di pagi Syawal.



Kami berkumpul kerana menziarah abang aku yang baru saja pulih dari serangan strok atau angin ahmar. Masih dalam terapi dan berurut. Melihat pada keadaannya; nampak semangat dia sangat kuat. Mungkin memikirkan sebagai ketua keluarga dan punca pendapatan untuk pencarian nafkah hidup keluarga.

Sebelum ini, ramai juga sahabat handai dan ahli keluarga lain datang berziarah. Kali ini jamuan makan tengahari kami sediakan. Cuma kena balik hari tak dapat tidur di kampung - anak-anak masih bersekolah, dan kami pun bekerja. Cuti hujung minggu di Johor tak sama untuk kakitangan kerajaan dan swasta...

Bergambar sebelum menjamu selera
Makan tengahari bersama...
Pagi raya pun tak dapat makan begini
Bersantai di laman...
Bonda dan Alya mencari cacing...
...untuk umpan pancing...
Makan petang bersama tetamu...
Kenangan sebelum membawa haluan masing-masing
Ayahlong menangis...

Kami habiskan seharian di kampung dengan menikmati keindahannya. Budak-budak sempat memancing, kebetulan abang aku ada 4-5 batang joran. Cuma bukan musim buah-buahan sekarang ini.


Keceriaan kali ini agak pelik dan janggal bagi aku. Tapi inilah antara kenangan terindah yang dapat aku kongsikan bersama di dalam blog ini. Entah bila dapat berkumpul lagi begini. Iskkk...


Jambatan Angkat Kuala Terengganu

EmpayarUtama - Sunday, September 17, 2023 : No comments

Terlanjur kitorang masih ada sikit waktu lepas jenjalan kat pasar malam Batu Burok sewaktu hantar Aiman ke Terengganu; kami singgahlah sekejap di sini.

Gambar-gambar ni diambil pada 14 Mac 2022 belah malam selepas melawat Masjid Kristal sebab esoknya dah nak gerak balik ke Johor.

Ikut katanya; banyak food truck di kawasan ini tapi sebelah petang le yang meriah.

Jambatan Angkat Kuala Terengganu, yang juga dikenali sebagai “Drawbridge” merupakan jambatan angkat pertama di Malaysia dan di Asia Tenggara. Ia dibuka sepenuhnya kepada kenderaan dan pejalan kaki pada 1 Ogos 2019.



Jambatan ini menjadi jambatan keempat di kawasan bandar Kuala Terengganu yang menyeberangi Sungai Terengganu selepas Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Manir dan Jambatan Pulau Sekati.

Jambatan Sultan Mahmud lebih dikenali sebagai Jambatan Duyong terletak di tengah-tengah Sungai Terengganu. Dikenali sebagai Jambatan Duyong kerana ia merentasi Pulau Duyong; Taman Tamadun Islam (TTI); dan replika 'ALLAH SELAMATKAN TERENGGANU' di atas Bukit Besar jelas dapat dilihat ketika merentasi jambatan ini.

Jambatan Manir (nama sebenarnya Jambatan Sultan Ismail Nasiruddin Shah) merupakan jambatan yang menghubungkan Kampung Pulau Rusa (Kuala Terengganu Utara) dengan Kampung Manir (Kuala Terengganu Selatan).

Jambatan Pulau Sekati pula menghubungkan Kampung Teluk Pasu dengan Losong, Kuala Terengganu melalui Pulau Sekati dengan merentangi Sungai Terengganu. Jambatan sepanjang 6.3 km ini dibina bagi mengurangkan kesesakan jalan raya di Kuala Terengganu.

Ok kembali ke Jambatan Angkat.

Pada tahun 2019 ia menerima anugerah BEST NEW TOURISM ICON 2019 yang mengiktiraf Jambatan Angkat Kuala Terengganu sebagai ikon pelancongan baru yang berjaya menarik perhatian ramai pelancong, baik tempatan mahupun antarabangsa. Jambatan ini diiktiraf kerana reka bentuk yang unik dan ciri-ciri jambatan yang boleh diangkat, menjadikannya simbol baru pelancongan yang memperkukuhkan imej Kuala Terengganu sebagai destinasi menarik.

Pada tahun 2020, jambatan ini menerima anugerah BEST NEW MALAYSIA TOURISM ICON 2020 yang mengiktirafnya sebagai ikon pelancongan terbaharu Malaysia. Anugerah ini menonjolkan keunikan dan sumbangan jambatan ini dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan global. Dengan ciri-ciri seni bina yang mengagumkan dan kemudahan pelancongan di sekitarnya, Jambatan Angkat Kuala Terengganu telah berjaya menjadi lambang kemodenan yang masih mengekalkan nilai tradisi Terengganu.


Aku tak sempat ler nak masuk melawat dalam Menara Jambatan Angkat / Drawbridge ni. Mengikut berita; terdapat Ruang Galeri, Sky Terrace (Lantai Kaca), Bilik sistem hidraulik, Layar Hijau / Video 360 Darjah, Dewan Elysium (Restoran), Koleksi pelbagai seni, seni bina, sains, sejarah, fesyen, dan banyak lagilah yang mengujakan serta menjanjikan untuk memikat deria dan memberikan pengalaman menarik.

Kredit dan sumber : wikipedia dan discoveryterengganu