Cerita Yang Jarang Jarang Terkini :

Lotus Desaru Beach Resort

EmpayarUtama - Tuesday, May 24, 2022 : No comments

Destinasi percutian utama Disember tahun lepas ialah Lotus Desaru Beach Resort & Spa di Desaru, Kota Tinggi. Untuk keluarga yang agak besar (9 orang) kami pilih Suite 2 Bilik Tidur.

1 bilik tidur utama dengan 1 katil double besar, 1 bilik 2 katil single (setiap bilik lengkap kipas, penyaman udara dan bilik mandi/tandas), 1 katil sofa di ruang tamu, meja makan bulat serta dapur lengkap untuk memasak.


Kemudahan lain di bilik antaranya ialah peti ais, safe box, microwave oven, jug air panas, seterika (boleh minta), HyppTV dan wifi.

Boleh je nak ambil Suite Tiga Bilik Tidur atau Apartmen Penthouse yang sediakan 2 bilik (setiap satu ada 1 katil double besar) dan 1 bilik 2 katil single; tapi Suite 2 Bilik Tidur dah mencukupi untuk kami sekeluarga. Kami juga bawa sendiri 2 toto besar dan beberapa biji bantal. Penginapan 3 hari 2 malam ni betul betul untuk tujan mandi, tukar pakaian dan bermalam saja.

Jika memang berniat untuk bercuti di sini, memang sesuai sangatlah. Ada Water Theme Park yang besar selain 2 kolam mandi berasingan; 3 jenis restoran; pusat rekreasi seperti gym, lapangan memanah, paint-ball, taman; games area serta beberapa sukan air.

Kedai cenderamata pun ada.

Kawasan dan peralatan barbeque juga disediakan tetapi kosnya bersamaan dengan harga 1 malam Suite 2 Bilik Tidur.

Aku himpunkan koleksi gambar-gambar dalam slide, kalau nak tengok lama-lama boleh tekan 'pause' ya :

  • Pemandangan dari jalan besar
  • Jalan masuk utama
  • Pemandangan dari pusat pendaftaran/reception
  • Lapangan memanah dan Paint-Ball
  • Restoran Lian Hua Seafood
  • Restoran Sea View
  • Kedai Serbaneka/Cenderamata dan Rhu Bar
  • Teratai Coffee House [selepas hujan lebat]
  • Sarapan di Teratai Coffee House. Percuma 4 orang untuk 2 bilik
  • Gimnasium
  • Kolam bersebelahan Teratai Coffee House
  • Berhadapan Gymnasium
  • Kemudahan Shuttle untuk pengunjung
  • Pusat Sukan Air. ATV agak mahal
  • Water Theme Park. Tambahan 1 gelang RM5, rosak boleh tukar, percuma
  • Taman Burung/Merak
  • Tupai ni kat luar Taman Merak
  • Tempat untuk ber-OOTD
  • Bersantai depan pusat permainan [Fun Fair]
  • Bilik tidur utama
  • Bilik tidur kedua
  • Menghadap pintu masuk
  • Hall
  • Barbeque Area
  • Cuaca dah mula gelap semula...

Jarak dari JB hampir 100km, ambil masa dalam 1 jam 15 minit untuk sampai ke Desaru. Aku dah pernah pergi 4-5 tempat penginapan di sekitar Desaru sebelum ini. Lotus Desaru Beach Resort & SPA antara yang terbaik.

Destinasi seterusnya...


Tiba Giliran Alexa

EmpayarUtama - Sunday, April 24, 2022 : 3 comments

Sepanjang kenal dunia blogging, satu persatu laman web yang aku biasa guna menamatkan perkhidmatan mereka.

Pada 1 Mei 2022 nanti, Alexa pula akan hilang. Dulu dia ada macam macam jenis widget. Dari Page Rank sampailah ke Total Visitor.

Ramai yang guna Alexa ni terutama untuk lihat prestasi dan perbandingan semasa.


Ada juga beberapa program yang mensyaratkan penggunaan Alexa Toolbar (ini untuk naikkan ranking laman web dia sendiri) untuk kita terus melayari program tersebut.

Aku pun cuma tahu bila terbaca kenyataan di toolbar yang aku pasang.


Jadi, aku buat cerita ini untuk abadikan Alexa yang pernah wujud dan ada sangat lama dalam dunia maya.

Sebelum terlupa; Selamat Berpuasa dan Selamat Menyambut Hari Raya IdilFitri dari kami sekeluarga.


Masa Untuk Ubah Sikap

EmpayarUtama - Sunday, April 17, 2022 : No comments

Kebiasaan yang sukar diubah terutama soal menepati waktu dalam kehadiran. Denda / penalti lewat tidak bantu percepat proses kehadiran individu.

Walau penambahbaikan dibuat dari menulis kehadiran dalam buku log, bertukar kepada punch kad, seterusnya sistem thumbprint, 'SISTEM' seperti/ seolah-olah tak boleh ubah sikap.

Kesemua tempat kerja yang aku terlibat sekarang ini hadapi masalah yang sama walau sudah diperingatkan untuk beri perhatian kepada kelonggaran kehadiran dengan sebaiknya.

Jika sebelum ini kena clock in jam 8 pagi, akan terlewat beberapa minit, maka dilonggarkan kepada 8.30 pagi. Pun masih terlewat beberapa minit selepas 8.30 pagi itu.

Jadi, bila dilonggarkan kepada jam berapa pun akan terbiasa juga lewatnya kepada beberapa minit selepas waktu baru tersebut...

Sepatutnya kelewatan itu tidak berlaku lagi bila masa telah ditarik lewat setengah jam.

Ini beri maksud kebiasaan lama tetap menjadi kebiasaan lama yang hanya dibawa menjadi kebiasaan baru.
Iyalah, jika dulu biasanya datang kerja jam 8.15 pagi walaupun waktu sebenar jam bekerja ialah pukul 8; setelah ditukar kepada 8.30 pagi - kehadiran lewat yang sama itu (8.15 pagi) tidak akan jadi lewat lagi. Tapi kini kelewatannya menjadi 8.45 pula...

Sikap perlu diubah, cumanya, berapa lama 'masa' diperlukan untuk ubah sikap itu...



Pelaksanaan Gaji Minima

EmpayarUtama - Monday, April 4, 2022 : 1 comment

Ini pendapat peribadi. Memang ada pro dan kons. Untuk perkongsian ini aku cuba lihat dari perspektif majikan.

Kita cuba ambil satu perniagaan yang punyai 15 pekerja. 5 darinya bergaji sekitar RM1,300 sebulan; 5 lagi sekitar RM1,800 sebulan; dan selebihnya 5 lagi sekitar RM2,000 sebulan.

Dengan pelaksanaan gaji minima RM1,500 sebulan bermaksud perniagaan ini perlu naikkan gaji 5 pekerjanya sebanyak RM200 sebulan.

Bila berlaku pelarasan tersebut; takkan pekerja di tangga gaji lain tiada pelarasan. Kenalah buat pelarasan juga, kan? Ok 5 pekerja seterusnya naik juga RM200 sebulan menjadi RM2,000 tiap seorang; dan 5 yang lainnya pun naik juga menjadi RM2,200 setiap orang. Dalam ertikata mudah - semua orang dapat kenaikan sama rata RM200 setiap pekerja kerana berlaku pelarasan gaji minima RM1,500 tersebut.

Dari perspektif pekerja; kira habislah cerita sampai sini. Betul tak? Tapi dari perspektif majikan, sebenarnya belum habis ceritanya.

Ini kerana setiap RM100 kenaikan gaji; majikan juga perlu tambah caruman KWSP; PERKESO dan Insurans Perkeso sejumlah RM14.95 (KWSP RM13; PERKESO RM1.75; dan EIS RM0.20) sebulan. Meh lihat ringkasannya :

Tambahan perbelanjaan oleh majikan :
Kenaikan Gaji
RM200.00
KWSP
RM26.00
PERKESO
RM3.50
EIS
RM0.40
Jumlah
RM229.90

RM229.90 ini untuk seorang pekerja sebulan. bila 15 pekerja; ia jadi RM3,448.50 sebulan. Bermakna majikan ada penambahan kos/perbelanjaan sebanyak RM41,382.00 setahun.

Perniagaan ini tetap kena buat untung [minima] yang berjumlah RM41,382.00 untuk tahun ini. Ia sama ada untuk kekalkan untung sedia ada; atau kekalkan rugi sedia ada; atau kekalkan 'nilai par' tiada untung tiada rugi; setanding pencapaian tahun sebelumnya.

Jalan singkat - buang satu pekerja bergaji tinggi. Tapi tindakan normal ialah kena naikkan kos. Contoh kedai makan; kedai perabot; barang elektrik; bahan cetak; harga kena naiklah, kan. Nak pusing kat mana lagi untuk cover balik tambahan belanja RM41,382.00 setahun tu?

Aku cuma boleh simpulkan, kenaikan gaji minima berapa pun; kos sara hidup tetap akan meningkat...



Dah Siap Nak Hantar

EmpayarUtama - Saturday, April 2, 2022 : No comments

Aduh penatnya. Setiap tahun aku hadkan 'engage' dengan 4 entiti je. Tapi bila datang lagi 2 kawan minta tolong buat semakan akaun untuk audit; tak sampai hati pula nak tolak.

Bajet cuma sebulan tinggalkan blog; terbabas jadi 2 bulan disebabkan tambahan 2 entiti tu.

Tapi siap juga keenam-enam tugasan sebelum hujung bulan lepas. Minggu ni siapkan surat untuk auditor campur dengan dua pelantikan auditor yang sama; lepas kurier dah boleh kembali tengok blog.


Nasib baik Borang E tiap syarikat tu sempat aku siapkan awal bulan lepas. Semput juga kemaskini dan buat closing sistem gaji untuk tahun 2021. Habis satu rim kertas A4 untuk print segala maklumat tahunan pekerja diorang, Borang EA sekali dengan Borang E dan Borang C.P.8D untuk dihantar ke LHDN.


Inilah 6 set yang nak dipos; yang last tu sekotak je sebab kompeni baru.

Lepas dapat nasihat dari sekriteri satu syarikat tu, aku mungkin kena fikirkan untuk buka bisnes sendiri dan gajikan 2-3 orang buat kerja-kerja ni. Memang tak larat dah rasanya nak hadap sampai 6 syarikat tiap tahun lepas ni.

Ok dah dulu. Selamat berpuasa dari EmpayarUtama buat rakan-rakan dan para pembaca semua :)



Aktiviti Hujung Minggu

EmpayarUtama - Monday, February 7, 2022 : 6 comments

Sebelum Cuti Raya Cina kitorang bincang nak beraktiviti sikit. Iyalah duduk rumah langsung tak buat apa-apa membesarkan badan je tiap hari.

Semua setuju untuk main badminton. Aku tempah 2 gelanggang di Dewan Badminton Taman Sri Amar Majidee. Ambil 1 jam cukup kot (5 hingga 6 petang) sebagai percubaan. Anak bujang aku ada 4 raket, yang nak main 8 orang.

Cepat-cepat aku ke kedai sukan tanya raket yang ok untuk budak-budak main. Ada 2 jenis, Fleet dan Apacs masing masing RM28 dah siap tali (dengan string [max tension] 15) tiap satu, grip RM11 untuk 3 raket tapi tokey kedai bagi percuma 1 sebab beli 4.

Berbaloi juga aku fikir kerana ikut nasihat kedai, raket tu boleh tukar talinya kalau putus, dan string boleh pergi hingga 17 sebab frame dan shaft graphite. Harga tali RM27 kalau lain kali nak tukar tali.

Sebenarnya aku bawak 4 raket besi dengan tali yang dah putus (5 tahun dulu kot beli kat Giant sepasang; beli kat DIY sepasang ahahahahahah) tapi akak kat kedai tu kata rugi kalau pasang tali; dahle harga tali RM27, pastu string cuma boleh pergi 11 je sebab frame besi. Betullah tu kata dia. Kalau beli, dapat 4 raket baru, tali dah siap dengan string 15, cuma tambah seringgit je sebatang... berbanding pasang tali, raket lama/besi dan tak boleh tegang sangat stringnya.

Maka bermulalah aktiviti sukan riadah kami yang pertama untuk tahun ini. Sewa gelanggang pun murah je, RM20 sejam untuk 1 gelanggang.

Bergambar dulu di luar Dewan Badminton Taman Sri Amar :)

Sabtu 29 Januari 2022, dah nak CNY tak ramai orang :

Lepas Maghrib baru keluar semula makan malam di Kedai Mamak Bawah Pokok Jalan Kebun Teh :


Jumaat 4 Februari 2022, di Dewan Badminton Larkin (Belakang rumah je). Di sini meriah sebab ramai yang datang dengan keluarga. Sewanya murah juga, RM16 sejam :

Cam biasa sesi bergambar sebelum balik :)

Sebab awal lagi dan dekat je dengan rumah, bawak diorang mengeteh dulu :

Aku fikir selain berjalan atau berjogging; badminton ini antara sukan riadah yang menjimatkan jika punyai keluarga besar (macam aku). Pun menjimatkan jika bermain dengan kumpulan kawan sekitar 6-8 orang. Cuma keluar belanja untuk beli shuttlecock setabung dalam RM35-RM40 boleh tahan 4 kali main (sebulan) bukan untuk tujuan pertandingan. Zaman sekolah menengah dulu, dua minggu sekali kitorang pakat beli bola loose yang reject dari kilang sebakul untuk latihan. 200 biji kot sebakul tu.

Sekadar pesanan. Apa sukan pun; sebelum mula, buat sikit stretching untuk aktifkan perjalanan darah ke seluruh tubuh badan, sekitar 5-10 minit dahulu. Nanti terkejut darah tu tetiba je kena paksa buat aktiviti lasak, takut jadi cerita lain...