Cerita Yang Jarang Jarang Terkini :

Terima kasih Rhea Scarlet

EmpayarUtama - Friday, January 14, 2011 : 1 comment

Some of untold story

- Terima kasih buat Rhea Scarlet yang menghadiahkan post ni (pernah jadi entri dalam blognya tahun 2009 tapi aku yang tak sempat baca) dan bagi izin aku 'repost' semula:

Setahun yang lalu..

30 Ramadhan 1429 Hijriyyah..
ABAH KEMBALI KE RAHMATULLAH
al-Fatihah..

Teringat beberapa perkara sebelum abah meninggal dunia..

1. Dalam bulan Jun 2008.. seorang sahabat abah datang untuk berurusan.. beliau bertanyakan kesihatan abah.. dan abah menjawab, "Alhamdulillah, tapi saya rasa saya tak sampai raya tahun ni."

2. Masih dalam bulan Jun.. seorang lagi sahabat abah datang untuk berziarah.. beliau juga bertanyakan kesihatan abah.. lalu abah menjawab, "Saya hanya mengira hari sahaja."

3. Lewat bulan Jun.. abah sedang berehat di ruang tamu. sambil bercerita kepada mak.. "Semalam ada jumpa dengan A, B, C, D.. (dan beberapa nama lagi..)." Mak kata semua nama yang abah sebut tu, adalah datuk nenek moyang yang telah lama meninggal dunia.. bila masa abah jumpa mereka?

4. Penghujung Jun.. abah bercerita langsung kepadaku.. "Malam tadi abah mimpi jumpa Ira.. Ira peluk abah kuat.. abah dapat cium pipi Ira.. hilang rindu abah padanya." Wajah abah kelihatan sangat ceria ketika bercerita tu.. senyuman tidak lekang dari bibirnya.. abah dapat sentuh Ira dalam mimpi?

Yang ke-4 ini.. sebenarnya memberi suatu kesedaran nyata kepadaku.. abah akan pergi meninggalkan kami semua.. Ira adalah cucu angkatnya yang telah meninggal dunia 9 tahun yang lalu.. Abah dan mak menjaga Ira sejurus selepas dilahirkan.. mereka sangat menyayanginya.. namun Allah lebih menyayangi Ira.. ketika usianya 6 tahun, Ira disahkan menghidap leukemia.. dan Ira kembali ke rahmatullah hanya sebulan selepas pengesahan penyakitnya itu..

Makin menguatkan kepercayaanku, ketika di sekolah, Wak pekerja am sekolah yang menziarah abah kelmarin memberitahu, sepulangnya dari melawat abah, malam tu Wak bermimpi, Wak berada di suatu kawasan yang sangat indah.. Wak melihat ada Ira.. Ira tunjuk abah.. kemudian Ira tunjuk satu lubang.. maksudnya, Wak kata Ira nak beritahu, lubang tu untuk abah..

Bulan Ogos.. aku sempat berjumpa abah selepas pembedahan akhir dilakukan.. 21 Ogos 2008.. aku berada di sisi katilnya ketika abah dibawa keluar dari bilik pembedahan.. waktu itu mak sedang bersolat maghrib dan abang yang meneman abah pulang ke rumah sebentar.. setelah abah di angkat ke katilnya, aku membetulkan selimutnya.. tiba-tiba abah tersedar dan duduk.. aku tergamam.. kerana abah sepatutnya masih belum perlu sedar. abah membuka alat bantuan pernafasannya.. mencabut sekalian wayar yang berselirat di tubuhnya.. aku benar-benar tergamam.. abah berkata (suaranya tak berapa kedengaran tapi aku dapat mendengar dengan jelas!), "Abah nak balik. Abah tak sakit. Tengok depan tu.. (sambil mengangkat tangannya menunjuk ke arah hadapannya).. ada cermin.. ada abah.. abah nak balik dah.. abah pergi dulu.." Aku hanya mengangguk tanpa berkata sepatah pun.. dengan bantuan jururawat, aku membaringkan abah kembali.. abah akur..

Sebentar kemudian, mak naik bersama abang sulung.. aku tak sanggup nak cerita kejadian tadi.. aku hanya minta kita sama-sama bacakan yassin untuk abah.. (genap 40 hari selepas itu.. abah menghembuskan nafas terakhirnya pada pagi 30 Ramadhan 1429 Hijriyyah bersamaan 30 September 2008 Masehi.. )

"Barang siapa membaca surah yassin pada sisi muslim yang berada dalam sakaratulmaut, belumlah malaikat maut mencabut ruhnya hingga datang kepadanya lebih dahulu malaikat ridhwan membawakan minuman dari syurga dan meminumkannya sedang ia berada di tempat pembaringannya. Kemudian, turunlah kepada jenazah muslim itu, bagi tiap-tiap satu huruf dalam surah yassin yang dibacakan itu, sepuluh malaikat yang berdiri bersaf-saf di hadapannya untuk mendoakan dan meminta ampun baginya, menghadiri waktu mandinya, menyembahyangkan ke atasnya serta menyaksikan penyemadiannya."
~ sumber: hadith riwayat alBukhari dari Ibnu Umar r.a, dalam kitab Rahsia ke Jalan Allah susunan Haji Abd Ghani bin Abd Samad.

Masa abah dibawa balik sekejap ke kampung, aku sempat menjaga abah beberapa jam.. abah meminta makanan.. aku menyuapkan potongan buah pear.. tiga keping sahaja.. kemudian abah meminta aku menyapukan air ke tubuhnya.. aku menyapu air dari peti sejuk di seluruh tubuh abah sambil melafazkan bacaan Surah Yassin..

Minggu terakhir bulan ramadhan.. hatiku resah.. aku terpanggil untuk memasak juadah aidilfitri.. kerana aku terasa-rasa seperti tak sempat meraikannya dengan abah nanti.. seharian aku merebus ketupat dan lemang.. memasak rendang ayam.. menggulai sayur lodeh.. selepas asar aku sekeluarga ke rumah adik bongsu di mana abah dan emak berada di sana.. kami berbuka puasa dengan juadah yang aku masak.. aku melihat mak menyuap abah makan.. aku tak pasti apa perasaanku sebenarnya.. rupa-rupanya itulah kali terakhir aku berada di sisi abah.. kali terakhir abah menjamah masakanku.. kali terakhir aku dapat menatap abah ketika abah masih bernyawa..

Abah pergi ketika aku berada di Batu Pahat pagi ramadhan terakhir.. semoga roh abah tenang di sisi Allah Yang Maha Esa.. amein..




Besar Belanja Pun, Kena Bayar Enche

EmpayarUtama - Tuesday, January 11, 2011 : 3 comments

Ni nak citer pasal perbelanjaan terperinci dan berapa aku perabis duit sepanjang 8 tahun tapi tak kawen pun ngan awek aku.

Sebenarnya korang sendiri boleh congak belanja beli kasut, blouse, gaun dinner, aksesori wanita, belanja tak putus untuk tambang dari Selatan ke Utara Semenanjung sepanjang dua
tahun dia masih blaja; dan belen 4 tahun lagi yang aku sia-siakan termasuk zaman remaja aku hanya sebab 'kapling'.

Eh! 6 tahun je tu, mana ilang 2 tahun lagi? Dua tahun tu time aku masih blaja ngan dia yang jadi junior lorrrr..

Itu tak campur makan, makan, makan, tengok wayang (sori aaa... aku kalau bab tengok wayang aku amik seat 'tengah-tengah, tengah-tengah'. Sebab kalau dapat duduk ngam-ngam kat tengah cinema hall, dia punya sound effect perghhhh...) bukan buat wayang tau.

Aku tipu. Sebenarnya aku tengah susun resit-resit sekolah anak-anak tahun lepas sebab EA / J Form bila-bila masa akan sampai. Pejam celik pejam celik dah 6 hari dah budak-budak bersekolah. Hari ni Johor cuti Hol Al-Marhum. Belek-belek resit and senarai buku sampai aku rasa mata aku ada masalah, esok kena pegi klinik check mata. Sebab apa? Tengok kat bawah ni:


Untuk Tahun Satu hingga Tiga, harga buku kerja pilihan ibubapa dalam tahun tersebut adalah sama (beli la kalau berminat untuk masa depan anak-anak - jangan kemut sangat). Dua anak aku skang nih dah lepas Tahun 3 dan buku kerja pilihan tu betul-betul jadi pilihan sebagai pameran kat almari masing-masing. Guru kelas tak guna pakai pun. Yang lagi beshnya, selang dua tahun je tiap buku tu naik 40 sen sebuah. Pilihan terbaek ibubapa.

Tak lama dulu Kementerian Pelajaran mansuhkan yuran pendidikan sebab keluhan ibu bapa yang terbeban dengan anak ramai. Tapi aku tak taulah berapa Ringgit Malaysia yang dimansuhkan, macam tak ada perubahan aja. Aku tengok standard harganya sama bagi tiap murid (untuk sekolah nilah, sekolah lain aku tak tau) iaitu RM38.50.

Dan terkini, buku pilihan tersebut sudah menjadi item yang mesti dibeli oleh semua murid dari Tahun 2 hingga Tahun 6! Tak percaya? Tengok kopipes kat bawah ni, tajuk paling bawah; dan harganya? Guru Besar dah boleh buat kira-kira nak upgrade kereta apa lepas Raya Cina nanti:


Kalau tak jawab kat sini, masa mesyuarat PIBG harap-harap Guru Besar sendiri yang akan menjawabnya. Tak ada 'fix price' pun kat mana-mana mukasurat buku-buku pilihan tu dan pengedar buku hanya boleh deal dengan Guru Besar.

Sebenarnya harga kertas tak naikpun sepanjang setahun ni (aku buat printing jd tau sket-sket pasal 'indent paper price') dan geng Bankers pulak kata tiap tahun bulan dua memang bulan meriah bagi para Guru Besar upgrade loan kereta, especially SRJK. So kalau ada 3 anak sekolah kat tempat sama, dapatlah diskaun 20 hengget kat sumbangan PIBG.

Tokey pajak gadai yang paling lebar senyumannya ngalahkan iklan kat tv sebab hujung bulan lepas; majoriti kedai pajak akan jadi 'karnival'. Bayangkan satu keluarga bahagia ada 5 anak besekolah; 1 tadika, 4 sekolah kebangsaan / menengah dan daripada 4 tu, 3 bersekolah agama. Ngam-ngam seribu belanja untuk minggu pertama persekolahan tak masuk pakaian dan peralatan, duit belanja tiap hari dan tambang bas...

Pastu cikgu tak selaraskan pulak bab mintak potostat surat beranak, I/C, slip gaji - siang-siang takmo mintak. Tapi kita tak ley merungutla benda alah ini. Dah tanggungjawab.

So aku harap 'otherside' dan yang lain-lain tu dapat tangkap apa yang aku cuba sampaikan dan boleh terima mesej aku. Tak ada kena mengena dengan soal hati dan perasaan atas pembaziran last last tak kawen. Tak jadi apa-apa pun...



Hitam Putih Kehidupan

EmpayarUtama - Sunday, January 9, 2011 : No comments

Suratkhabar hari Ahad 2 minggu lepas ada cerita pasal anak Malaysia yang begitu berjaya dalam seni Khat Kufi. Kat situ dia ada gak tunjuk camna nak buat Kufi tu dan corak hurufnya untuk susunan sampai jadi hiasan menarik.

Dalam Metro Ahad hari ni lagi sorang, Mohammad Firdaus yang sedang naik dalam bidang kaligrafi yang salah satunya adalah Khat Kufi.
Dua gambar ni sekadar hiasan. Atas ni dari http://copyhouse.co.nz/ manakala bawah pula dari http://henderson-art.co.uk/


Biasanya Khat Kufi ni akan jadi bentuk empat segi dan digubah dari ayat-ayat lazim dalam Qur’an. Standard kaler – hitam putih.


Ini Surah Al-Ikhlas

Ini surah Al-Falak

Dulu pernah rasanya keluar arahan untuk tidak pamer ayat-ayat sebegini yang dibentuk menyerupai manusia, makhluk atau benda yang kita nampak takut dikhuatiri boleh menjejaskan aqidah. Iyalah dah buat ayat jadi bentuk rumah pastu ada pulak yang bgtau kalau letak dalam rumah boleh buat jaga rumah.

Kalau ikut logik ayat tu, aku setujulah sebab memang benda tu dok jaga rumah sebab dah kena paku kat dinding mana bley lari. Ada gak yang percaya bulat-bulat potostat banyak-banyak letak kat beberapa area dalam rumah buat tangkal / azimat. Kononnya nak amik berkat. Ini sudah lebey... Patutnya ayat-ayat tu dibaca buat jadi amalan sehari-harian, bukan takat disimpan sampai berhabuk dan warna kertaspun dah tuka kaler (alamak... teringat pulak kat posting aku yang dulu tu, gambar siap naik coklat).

Aku perasan kat kampung macam ada satulah, bentuk orang duduk antara dua sujud tapi jadi hiasan dinding ajalah. Frame pun tak berganti ntah dah lebih 50 tahun kot frame tu. Nanti kalau aku balik kampung dan teringat nak snap pic, aku bley share kat sini.

Skang nih, dah banyak pulak nampak bentuk yang seakan-akan Kufi. Bila nengok betul-betul, ianya adalah QR (Quick Response) yang dibentuk melalui Code Generator. Sekali tengok adalah iras iras Kufi kat atas tu. Ada dua beza ketara antara keduanya. Kufi ni straight forward punya sentence manakala QR tu antara jenis label kod yang biasa diguna sebagai penanda produk, dan secara spesifiknya QR ni jadi kod untuk tukar sesuatu ayat.
Beza yang kedua; Kufi boleh dibaca terus dari bawah kanan bawak ke kiri, naik ke atas, patah balik ke kanan – turun bawah, sampailah ujungnya kat dalam. (Pergh, macam cara tunjuk arah jalan ke rumah pengantin maa...). Nak baca QR pulak kena guna Bar Code Reader.


Nak dapatkan Code Generator? Search Google aja tapi kalau nak senang; ni haa kat bawah ni ada few programs:

QR Code Generator, Lagi QR Code Generator,
  Data Matrix Generator,
atau ini: QR Code Generator

Pastu dah generate, nak kena baca la pulak; kan?

Cuba yang ini: Online Bar Code Reader


Nak Kenal? Cinta Monyet...

EmpayarUtama - Monday, January 3, 2011 : 3 comments

Buat 'otherside' dan yang sewaktu dengannya yang aku janjikan di Mesra.net. Juga buat tatapan semua...

Tengah aku kemas bilik dan kotak-kotak untuk mengurangkan barang-barang sebab nak susun balik barang sekolah budak-budak, terjumpa pulak potret nih. Kertasnya dah naik kuning coklat tapi hasil lukisan pensel aku masih terang lagi.
Bukan nak eksyen tapi masa percubaan SPM dulu aku saja masuk exam Art walaupun aku tak amik subjek tu. Aku aliran Sains dan paper Lukisan tak masuk langsung even dalam subjek alternatif. Time result keluar, heheheh... aku sorang dapat A1 kat skolah. Masa tu aku lukis gambar salah satu blok kelas sekolah siap shading dan lukisan aku tu tergantung dalam frame bilik pengetua sekolah.

Aku bukan nak cerita pasal lukisan tapi pasal siapa dalam lukisan. Terus terang dia insan pertama yang buat hati aku gugur zaman cinta monyet aku. Beza umur 4 tahun dan kami masa tu (masa tulah, lepas tu lain dahhhh) minat sukan yang sama - badminton. Sebenarnya aku cuma simpan perasaan je, tak ada pun cinta monyet tu sampailah tetiba dia jadi junior kat tempat aku belajar.

Kalau ikutkan cinta monyet zaman aku, biasanya pihak lelakilah yang akan mulakan dahulu. Bila dah selalu nampak, hati mula suka, surat nak berkenalan pun dikarang. Dan biasanya posmen adalah kawan baik yang rapat dengan kawan baik dia. Antara ayat penting - nak jadi abang angkat; mintak gamba sekeping; dan penutup 'pecah kaca pecah gelas lepas baca harap balas' betul-betul jadi kandungan skema zaman cinta monyet dulu-dulu. Kertas - guna belen kertas putih lebih paper exam, pakai sampul putih 'by Air Mail' yang kat tepinya ada jalur biru putih. Takpun jalur biru merah .

Pastu menunggu sakan akan jawapan dari bakal 'adik angkat' muahahahahahah..... Bila dapat je, blom bukak lagi dok cium-cium surat tu. Ya la kan, sapa sangka surat berbalas. Jawapan positif ke negatif ke itu nombor dua. Selalunya positiflah. Kalau negatif slalunya tak berbalaspun. Lepas tu apa lagi, surat- surat berikutnya samada memang kertas berbau wangi ataupun tabur bedak sebelum lipat dan masuk sampul. Natahapahapantah... tapi teringat cerita lama, aku senyum sendiri. Seolah-olah 'terbau' suasana masa dulu tu.

Pernah jugak time sekolah menengah aku buat cara lain sket. Aku start ngan berkirim salam je kat adik tu, melalui kawan perempuan sekelas. Lepas slalu sangat kirim salam, aku antar 2-3 helai surat berjela. Tapi bukan surat pun, aku dok mengarang cerita merapu yang lepas adik tu baca, akan bersambung... Masuk surat yang ketiga, haaaa.... dapat surat balasan nak jumpa dan ada pesanan penaja - bila novel aku nak abis? Bila dah jumpa (jumpa kat mana? Kat kantin dewan makan sekolah time makan malam, sekolah belanja... kuang kuang kuang...) aku tak payah sambungle novel merapu aku tu...

Aku tipu. Aku sambung jugak atas permintaan peminat (tapi keputusan aku tu tak dipengaruhi oleh mana-mana pengadil, penjaga garisan, penonton, maupun anjing-anjing polis - Ini ayat dari sparring partner aku dulu, Mohd Sabilan namanya), sambungan novel tu akhirnya makan diri aku bila dia bleybuat imagination watak-watak yang aku idupkan dalam cerita aku tu cam sama lak ngan aku, dia, dan pompuan lain. Masak aku...

Tapi itu dulu. Zaman blom IT. Skang nih, aku nengok bebudak buat cinta expres. Bayangkan kalau berkumpul je, tak kisahlah lelaki ke pompuan ke, kalau nak berkenalan trus je tanya - ada facebook tak? Mak oi, advancenya diorang.


Sebab apa aku kata expres. Bayangkan, dulu walaupun statusnya abang adik angkat tapi amik masa. Mula dengan tengok-tengok, pastu anta surat, tunggu. Balas, tunggu, tunggu, tunggu dan tunggu. Kira tak semua info pasal abang adik angkat tu dapat kita kumpul sekaligus. Tapi skang nih, ikut facebook aja semua info termasuk gamba tuk nenek sampaila ke personal picture pun bley dapat.

Walaupun time aku dulu tak ada facebook, 8 tahun apa aku berkawan dengan gadis dalam lukisan kat atas tu. Cuma jodoh kami tak ada, dan yang paling mengarutnya dia kawin ngan member baik aku masa sekolah dulu. Aku ucapkan semoga bahagia dan berkekalan hingga ke akhir hayat.

P/S: Kalau 'otherside' dan kengkawan nak tau berapa ribu aku dah abiskan untuk sidia sepanjang lapan tahun kami coupling, nanti aku post kat lain cerita (Itupun kalau aku rajin hahahahahah)


Memori Abah (Bahagian Dua)

EmpayarUtama - Saturday, January 1, 2011 : 3 comments

Bacalah adik-adikku, bacalah anak-anakku... Kisah tentang naluri dan perasaan seorang bapa buat tatapan semua. Aku juga seorang bapa dan garapan ini dibuat dengan bahasa yang paling mudah untuk difahami. Cekal dan tabah dalam hidup yang serba sederhana mendidik dan menghidupkan rasa hormat anak-anak kepada orang tua secara semulajadi. Bacalah ~ Empayarutama
Sekali peristiwa, ada kawan abah yang kebetulan sama nama kemalangan dan meragut nyawanya. Berdering-deringlah talipon rumah diangkat oleh mak yang jawab 'Ni tengah bersiap nak ke hospitallah ni'. Tak jugak ke spital sebab sibuk jawab talipon. Abah siang siang dah kat spital tolong uruskan jenazah. Maka penuhlah ucapan takziah, kata-kata semangat dan perangsang mak terima termasuklah dari tokey kedai yang kitorang selalu belanja bukak buku dan bayar ujung bulan. Dan tak putus jugak kawan-kawan abah datang ziarah ke rumah sampai camtu dahsyat sekali ceritanya.

Sampai satu masa, abah kehilangan emaknya (atuk perempuan aku belah abah). Kami sempat hantar atuk ke kampung atas permintaan atuk sendiri. Ada sedikit perbalahan kecil berlaku kerana masing-masing mungkin tak cukup persediaan kewangan untuk urusan ini. Abah sebagai anak yang tua mengalah dan mengeluarkan semua simpanannya; pun kena menuju ke bandar yang memang jauh. Dan abah tak pernah cerita pun pasal ni hinggalah baru-baru ini pakcik aku terlepas cakap. Rupanya mereka masih berhutang dengan abah.

Cerita abah kat aku, sakit yang arwah atuk lelaki dan atuk perempuan sama - bengkak usus. Aku kata kanser. Abah kata ini penyakit keturunan orang Bugis, berderau jugak darah aku bila dapat tau majoriti sedara aku belah abah mengidap sakit yang sama. Dan kalau itulah ketentuan Ilahi yang bakal dikurniakan pada abah, abang, aku dan adik-adik, aku redha.

Abah ada satu petua tapi dalam bahasa Bugis yang mana dengan kuasa Allah dia dapat tawarkan bisa binatang seperti ikan bersengat, kala, ular, lipan atau serangga berbisa. Aku rasa inilah jawapan kepada 40 tebuan tanah yang melekat pada badannya. Dan agaknya kerana dah terbiasa terpijak paku baru atau berkarat oleh sebab rajinnya bertukang, tidak memberi sebarang kesan pada tubuh badan abah. Aku antara yang rajin kena gigit lipan dan sengat tebuan dan abah cuma ludahkan sket pada tempat yang kena, langsung baik. Cuma rasa gatal aja lepas tu. Tapi sampai sekarang abah tak perturunkan petua tu kat sesiapa pun.

Lama jugak abah kerja dengan JPS, lebih 35 tahun sampai pencen. Ramai kontraktor panggil lepas tu tapi abah nak tunaikan jugak cita-citanya kerja beruniform. Dan rasanya tak kurang dari 4 sekuriti kompeni abah dah join lepas pencen, jadi macam-macam koleksi uniform dia dapat rasa. Disebabkan masalah kesihatan, kurang dapat berjemaah terutama Jumaat dan aktiviti bersama kawan-kawan memang terbatas, abah tak kerja dah lepas tu. Tapi, semua yang abah impikan dah tercapai - uniform, kereta dan rumah sendiri. Aku tumpang happy.

Antara syarikat sekuriti selepas bersara dari JPS

Sepanjang duduk kat rumah sendiri tu, abah kerap menokok nambah apa yang patut. Dan kerap jugaklah abah jatuh. Kali terakhir abah jatuh seminggu sebelum aku melangsungkan perkahwinan. Dia nak betulkan bumbung beranda. Abah kena tahan kat wad tapi kami mintak keluar sebab nak buat majlis. Jadi masa berlangsungnya majlis 'mengundur' (pengantin lelaki membawa pulang pengantin perempuan ke rumah pihak lelaki), abah duduk diam saja. Tak banyak bercakap sebab menahan sakit agaknya. Sedey rasanya sebab majlis aku abah kurang ceria. Segala urusan, abang dan Pak Uda yang buat. Kesiannya abah...

Abah yang tabah menahan sakit, mak, dan siapa di tengah tu?

Ingat lagi janji aku nak cerita tentang budak perempuan atas batu? Haa, itulah 'adik bongsu' kami merangkap 'anak bongsu' mak n abah. Disebabkan kami 4 beradik dah berkeluarga, dialah intan payung orang tua kami. Mereka membesarkan dia dari lahir hinggalah dah ke tadika. Dialah penyeri orang tua aku kalau tidak sunyile mereka berdua kat kampung. Namanya Nur Fatihah Syahira. Panggil Ira aja. Agak chubby budaknya, rambut perang semulajadi. Bulu keningpun perang jd macam tak nampak sangat keningnya. Abah sangat sayangkan Ira sebab banyak masa tidur malam dia tidur ngan mak n abah, tak nak tidur ngan ibu n ayah dia. Jarak rumah betul dia adalah satu km dari rumah.


Satu petang dekat nak maghrib dia kata kat mak, dia rasa panas sebab petang tadi nampak satu cahaya jatuh dari langit, terang sangat. Badan dia mula tumbuh bintik hitam. Seminggu kemudian dia disahkan menghidap leukemia. Abah berusaha dapatkan rawatan tradisional untuk itu. Dan tak sampai 40 hari dia kembali ke rahmatullah sewaktu rawatan di HUKM. Ini betul-betul beri kesan buat abah. 6 tahun hidup susah bersamanya, Tuhan lebih sayangkan Ira. Sewaktu jenazah nak diturunkan dari rumah atuknya, buat pertama kali dalam hidup aku, aku lihat abah menangis. Dan abah menangis betul-betul. Sekarang ni pun air mata aku bergenang ingatkan tangisan abah tu.

Ulangtahun Ira ke 5 tahun...

Selepas itu abah seolah-olah memendam perasaan. Walaupun dah lebih lima tahun peristiwa ni (yang tepatnya sembilan tahun), tapi bila dia meracun atau mesin rumput kat luar, ada masanya dia akan masuk ke rumah dan bgtau dia terbayang-bayang akan Ira yang rajin mengacau dia macam dulu-dulu.


Mak pula tawar hati nak jaga orang lain sebagai pengganti. Serik katanya. Dari masa ke masa, badan abah mula susut. Abah mula makan sikit aja, kalau banyak dia akan muntah. Banyak masa abah baring dari bergerak.

Masa adik bongsu bawak mak n abah ke rumahnya, satu hari tu dia call kata abah sakit sangat kat perut dan mintak bawa ke hospital. Abah kata dia tak dapat tahan lagi, kalau kena operatepun, operatelah. Lamanya abah menyimpan sakit dia langsung tak bagitau kami semua. Oleh kerana aku yang terdekat dengan hospital, aku rela jaga abah kat wad. Akhirnya selamat operation dan tebuk satu lubang di pinggang kiri letak tiub plastik. Abah kata lega dah tak sakit. Tapi bila makan abah masih muntah. Ada komplikasi ke? Atau pihak hospital tak nak berterus terang dengan aku?

Masuk hari ketiga selepas pembedahan, doktor buat keputusan untuk buat 2nd operation sebab dikhuatiri ada rebakan cancer ditempat lain bahagian usus. Lagi satu tak nampak perubahan positif bila abah cuba makan. Aku tau ini 'high risk decision' untuk diambil sebab baru 2 hari pembedahan. Aku cuba tenangkan diri dan mintak opinion doktor kalau boleh lewatkan pembedahan kedua, bagi masa sikit dan bekalkan abah dengan ubatan tahan lapar dulu. Bukannya apa, sebab risikonya memang tinggi apatah lagi pada usia abah yang nak cecah 70 tahun. Satu lagi dari pemerhatian aku, pembedahan kali kedua adalah 99% gagal. Kesian tengok abah yang ada rasa lapar nak makan, aku bulatkan hati turunkan tandatangan.

Petang tu adik datang dan aku balik rumah jap untuk mandi dan ambikkan pakaian lain untuk abah. Lewat sikit adik talipon sambil nangis, dah siap operation tapi abah meracau cakap yang bukan-bukan. Aku pernah dengar kes macam nih mungkin sebab morfin yang kuat bagi 'side effect', dan aku tak nak fikir yang lain. Time aku sampai, mak-abang-adik-adik tengah baca Yasin kat tepi katil abah. Badan abah penuh wayar. Aku tau semangat abah kuat walaupun antibodi tak kuat. Sebab lepas pindah katil tadi adik kata abah bangun dan cabut semua wayar tu. Abah kata tak sakit dah.

Lepas tu abah dah boleh minum dan makan bubur tapi selera makan macam hilang. Aku ada terbaca kat paper satu perempuan mengadu yang emaknya hilang deria rasa dan selera makan selepas operation jadi dia cuma ikut time orang makan dan dia pun ikut makan. Aku cuma nampak abah susah sikit nak bangun dan dia akan ke 'tempat lain' bila aku tak ada sebelah dia. Dia dah mula nampak apa yang kita tak nampak. Dia bercerita kat aku masa aku tak ada, ada budak main main kat tepi katil dia, orang buat makan-makan kat ujung sana, dan macam macam lagi. Dan ada masa-masanya dia akan bertanya jam pukul berapa. Aku agak aku dah faham sikit-sikit tapi tak sampai hati nak bagitau mak.

Adik pun ada kata yang abah pesan kalau boleh macam mana pun dia nak balik kampung. Aku dah boleh pindahkan abah ke kerusi roda dan bawak dia turun untuk hirup udara luar. Selepas lebih sebulan berkampung di hospital dan masuk bulan puasa, aku berunding dengan doktor untuk 'discharge' abah buat sementara sebab tiap hari aktiviti yang sama dan tak ada komplikasi lain. Ada tiga empat doktor kat situ dan petang sikit, mereka bersetuju untuk cutikan abah dan kena datang semula seminggu lepas raya. Abah dibekalkan ubatan harian untuk 2 minggu sementara nak kembali ke hospital dan adik setuju untuk jaga abah dan mak. Kami bercadang balik ke kampung sehari sebelum Raya. Kawan abah kat kampung pinjamkan kerusi roda.

Disebabkan abah sudah tak ada deria makan, badannya makin susut. 3-4 ari lagi nak raya, mak talipon kata abah buang air banyak ikut kantung, warna hitam dan bau busuk. Aku bagitau mak agaknya penyakit dia dah keluarlah tu. Sebenarnya aku dapat rasakan yang hari-hari terakhir abah dah sampai, abang pun setuju. Aku ada baca tentang ini dalam satu buku. Cuma tak dapat kami nak luahkan pada mak takut mak pula tak boleh terima. Aku pun start kereta ajak abah dan mak ke klinik kat kampung, kebetulan mak memang nak ke sana sebab nak sambung ubat darah tinggi mak yang nak habis. Sebenarnya aku nak lepaskan niat abah balik kampung tengok kampung, tanah dan rumah yang dia usahakan dengan tulang empat keratnya dahulu. Dan abah cukup ceria naik kereta walaupun berbaring, macam katil kat rumah aja katanya. Dalam sejam jugalah kami kat rumah tu sempat abah tidur kejap. On the way balik rumah aku, mak kata nak duduk rumah adik aja sebab bilik air dekat dengan bilik tidur.

Malam ke tiga puluh puasa, semua datang rumah sebab abah nak berurut dengan sorang pakcik yang duduk dekat dengan rumah aku. Masa aku dukung abah keluar dari kereta, ishhh ringannya badan abah. Lepas tengah malam aku tengok abah tidur gelisah saja. Dia kata nak minum, dan lepas minum dia macam dah tak kenal kami lagi. Gelisahnya makin kuat. Lepas sembahyang subuh aku jemput jiran-jiran yang terdekat untuk sedekahkan bacaan Yasin, mohon pada Allah untuk bagi keselesaan pada abah. Naluri aku dapat merasakan yang masanya dah dekat sangat untuk abah pergi dan aku mintak mak talipon abang, adik-adik, adik beradik abah dan rakan-rakan rapat untuk datang ziarah. Pukul sembilan aku serah abah kat pangkuan adik untuk ingatkan abah pada Allah sebab nak jemput isteri aku balik dan on the way nak sampai pejabat dia, jantung aku bagai gugur. Aku tau abah dah tak ada (Entah kenapa, bergenang lagi air mata aku sekarang ni). Betul jangkaan aku, tak sampai seminit mak talipon bagitau abah dah meninggal. Innalillahi-wa-inna- ilaihi-ra-ji-un. Aku sedih yang amat tetapi aku bersyukur kerana abah pergi dengan aman dan tidak dalam keadaan sakit yang kita nampak dia tanggung dahulu.

Abah pergi meninggalkan kami semua pada hari terakhir puasa, semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang mukmin. Jenazah selamat dikebumi di kampung seperti permintaan abah. Dan abah tidak berhutang apa pun pada kami semua. Abah sempurnakan segalanya semasa hayatnya, cuma abah tak sempat lihat cucunya yang ke 17 lahir lima bulan kemudian. Pada aku, jasa dan bakti abah tak ternilai. Terima kasih abah, kami rindukan abah...