Home » , » Memori Abah (Bahagian Dua)

Memori Abah (Bahagian Dua)

EmpayarUtama - Saturday, January 1, 2011 : 3 comments

Bacalah adik-adikku, bacalah anak-anakku... Kisah tentang naluri dan perasaan seorang bapa buat tatapan semua. Aku juga seorang bapa dan garapan ini dibuat dengan bahasa yang paling mudah untuk difahami. Cekal dan tabah dalam hidup yang serba sederhana mendidik dan menghidupkan rasa hormat anak-anak kepada orang tua secara semulajadi. Bacalah ~ Empayarutama
Sekali peristiwa, ada kawan abah yang kebetulan sama nama kemalangan dan meragut nyawanya. Berdering-deringlah talipon rumah diangkat oleh mak yang jawab 'Ni tengah bersiap nak ke hospitallah ni'. Tak jugak ke spital sebab sibuk jawab talipon. Abah siang siang dah kat spital tolong uruskan jenazah. Maka penuhlah ucapan takziah, kata-kata semangat dan perangsang mak terima termasuklah dari tokey kedai yang kitorang selalu belanja bukak buku dan bayar ujung bulan. Dan tak putus jugak kawan-kawan abah datang ziarah ke rumah sampai camtu dahsyat sekali ceritanya.

Sampai satu masa, abah kehilangan emaknya (atuk perempuan aku belah abah). Kami sempat hantar atuk ke kampung atas permintaan atuk sendiri. Ada sedikit perbalahan kecil berlaku kerana masing-masing mungkin tak cukup persediaan kewangan untuk urusan ini. Abah sebagai anak yang tua mengalah dan mengeluarkan semua simpanannya; pun kena menuju ke bandar yang memang jauh. Dan abah tak pernah cerita pun pasal ni hinggalah baru-baru ini pakcik aku terlepas cakap. Rupanya mereka masih berhutang dengan abah.

Cerita abah kat aku, sakit yang arwah atuk lelaki dan atuk perempuan sama - bengkak usus. Aku kata kanser. Abah kata ini penyakit keturunan orang Bugis, berderau jugak darah aku bila dapat tau majoriti sedara aku belah abah mengidap sakit yang sama. Dan kalau itulah ketentuan Ilahi yang bakal dikurniakan pada abah, abang, aku dan adik-adik, aku redha.

Abah ada satu petua tapi dalam bahasa Bugis yang mana dengan kuasa Allah dia dapat tawarkan bisa binatang seperti ikan bersengat, kala, ular, lipan atau serangga berbisa. Aku rasa inilah jawapan kepada 40 tebuan tanah yang melekat pada badannya. Dan agaknya kerana dah terbiasa terpijak paku baru atau berkarat oleh sebab rajinnya bertukang, tidak memberi sebarang kesan pada tubuh badan abah. Aku antara yang rajin kena gigit lipan dan sengat tebuan dan abah cuma ludahkan sket pada tempat yang kena, langsung baik. Cuma rasa gatal aja lepas tu. Tapi sampai sekarang abah tak perturunkan petua tu kat sesiapa pun.

Lama jugak abah kerja dengan JPS, lebih 35 tahun sampai pencen. Ramai kontraktor panggil lepas tu tapi abah nak tunaikan jugak cita-citanya kerja beruniform. Dan rasanya tak kurang dari 4 sekuriti kompeni abah dah join lepas pencen, jadi macam-macam koleksi uniform dia dapat rasa. Disebabkan masalah kesihatan, kurang dapat berjemaah terutama Jumaat dan aktiviti bersama kawan-kawan memang terbatas, abah tak kerja dah lepas tu. Tapi, semua yang abah impikan dah tercapai - uniform, kereta dan rumah sendiri. Aku tumpang happy.

Antara syarikat sekuriti selepas bersara dari JPS

Sepanjang duduk kat rumah sendiri tu, abah kerap menokok nambah apa yang patut. Dan kerap jugaklah abah jatuh. Kali terakhir abah jatuh seminggu sebelum aku melangsungkan perkahwinan. Dia nak betulkan bumbung beranda. Abah kena tahan kat wad tapi kami mintak keluar sebab nak buat majlis. Jadi masa berlangsungnya majlis 'mengundur' (pengantin lelaki membawa pulang pengantin perempuan ke rumah pihak lelaki), abah duduk diam saja. Tak banyak bercakap sebab menahan sakit agaknya. Sedey rasanya sebab majlis aku abah kurang ceria. Segala urusan, abang dan Pak Uda yang buat. Kesiannya abah...

Abah yang tabah menahan sakit, mak, dan siapa di tengah tu?

Ingat lagi janji aku nak cerita tentang budak perempuan atas batu? Haa, itulah 'adik bongsu' kami merangkap 'anak bongsu' mak n abah. Disebabkan kami 4 beradik dah berkeluarga, dialah intan payung orang tua kami. Mereka membesarkan dia dari lahir hinggalah dah ke tadika. Dialah penyeri orang tua aku kalau tidak sunyile mereka berdua kat kampung. Namanya Nur Fatihah Syahira. Panggil Ira aja. Agak chubby budaknya, rambut perang semulajadi. Bulu keningpun perang jd macam tak nampak sangat keningnya. Abah sangat sayangkan Ira sebab banyak masa tidur malam dia tidur ngan mak n abah, tak nak tidur ngan ibu n ayah dia. Jarak rumah betul dia adalah satu km dari rumah.


Satu petang dekat nak maghrib dia kata kat mak, dia rasa panas sebab petang tadi nampak satu cahaya jatuh dari langit, terang sangat. Badan dia mula tumbuh bintik hitam. Seminggu kemudian dia disahkan menghidap leukemia. Abah berusaha dapatkan rawatan tradisional untuk itu. Dan tak sampai 40 hari dia kembali ke rahmatullah sewaktu rawatan di HUKM. Ini betul-betul beri kesan buat abah. 6 tahun hidup susah bersamanya, Tuhan lebih sayangkan Ira. Sewaktu jenazah nak diturunkan dari rumah atuknya, buat pertama kali dalam hidup aku, aku lihat abah menangis. Dan abah menangis betul-betul. Sekarang ni pun air mata aku bergenang ingatkan tangisan abah tu.

Ulangtahun Ira ke 5 tahun...

Selepas itu abah seolah-olah memendam perasaan. Walaupun dah lebih lima tahun peristiwa ni (yang tepatnya sembilan tahun), tapi bila dia meracun atau mesin rumput kat luar, ada masanya dia akan masuk ke rumah dan bgtau dia terbayang-bayang akan Ira yang rajin mengacau dia macam dulu-dulu.


Mak pula tawar hati nak jaga orang lain sebagai pengganti. Serik katanya. Dari masa ke masa, badan abah mula susut. Abah mula makan sikit aja, kalau banyak dia akan muntah. Banyak masa abah baring dari bergerak.

Masa adik bongsu bawak mak n abah ke rumahnya, satu hari tu dia call kata abah sakit sangat kat perut dan mintak bawa ke hospital. Abah kata dia tak dapat tahan lagi, kalau kena operatepun, operatelah. Lamanya abah menyimpan sakit dia langsung tak bagitau kami semua. Oleh kerana aku yang terdekat dengan hospital, aku rela jaga abah kat wad. Akhirnya selamat operation dan tebuk satu lubang di pinggang kiri letak tiub plastik. Abah kata lega dah tak sakit. Tapi bila makan abah masih muntah. Ada komplikasi ke? Atau pihak hospital tak nak berterus terang dengan aku?

Masuk hari ketiga selepas pembedahan, doktor buat keputusan untuk buat 2nd operation sebab dikhuatiri ada rebakan cancer ditempat lain bahagian usus. Lagi satu tak nampak perubahan positif bila abah cuba makan. Aku tau ini 'high risk decision' untuk diambil sebab baru 2 hari pembedahan. Aku cuba tenangkan diri dan mintak opinion doktor kalau boleh lewatkan pembedahan kedua, bagi masa sikit dan bekalkan abah dengan ubatan tahan lapar dulu. Bukannya apa, sebab risikonya memang tinggi apatah lagi pada usia abah yang nak cecah 70 tahun. Satu lagi dari pemerhatian aku, pembedahan kali kedua adalah 99% gagal. Kesian tengok abah yang ada rasa lapar nak makan, aku bulatkan hati turunkan tandatangan.

Petang tu adik datang dan aku balik rumah jap untuk mandi dan ambikkan pakaian lain untuk abah. Lewat sikit adik talipon sambil nangis, dah siap operation tapi abah meracau cakap yang bukan-bukan. Aku pernah dengar kes macam nih mungkin sebab morfin yang kuat bagi 'side effect', dan aku tak nak fikir yang lain. Time aku sampai, mak-abang-adik-adik tengah baca Yasin kat tepi katil abah. Badan abah penuh wayar. Aku tau semangat abah kuat walaupun antibodi tak kuat. Sebab lepas pindah katil tadi adik kata abah bangun dan cabut semua wayar tu. Abah kata tak sakit dah.

Lepas tu abah dah boleh minum dan makan bubur tapi selera makan macam hilang. Aku ada terbaca kat paper satu perempuan mengadu yang emaknya hilang deria rasa dan selera makan selepas operation jadi dia cuma ikut time orang makan dan dia pun ikut makan. Aku cuma nampak abah susah sikit nak bangun dan dia akan ke 'tempat lain' bila aku tak ada sebelah dia. Dia dah mula nampak apa yang kita tak nampak. Dia bercerita kat aku masa aku tak ada, ada budak main main kat tepi katil dia, orang buat makan-makan kat ujung sana, dan macam macam lagi. Dan ada masa-masanya dia akan bertanya jam pukul berapa. Aku agak aku dah faham sikit-sikit tapi tak sampai hati nak bagitau mak.

Adik pun ada kata yang abah pesan kalau boleh macam mana pun dia nak balik kampung. Aku dah boleh pindahkan abah ke kerusi roda dan bawak dia turun untuk hirup udara luar. Selepas lebih sebulan berkampung di hospital dan masuk bulan puasa, aku berunding dengan doktor untuk 'discharge' abah buat sementara sebab tiap hari aktiviti yang sama dan tak ada komplikasi lain. Ada tiga empat doktor kat situ dan petang sikit, mereka bersetuju untuk cutikan abah dan kena datang semula seminggu lepas raya. Abah dibekalkan ubatan harian untuk 2 minggu sementara nak kembali ke hospital dan adik setuju untuk jaga abah dan mak. Kami bercadang balik ke kampung sehari sebelum Raya. Kawan abah kat kampung pinjamkan kerusi roda.

Disebabkan abah sudah tak ada deria makan, badannya makin susut. 3-4 ari lagi nak raya, mak talipon kata abah buang air banyak ikut kantung, warna hitam dan bau busuk. Aku bagitau mak agaknya penyakit dia dah keluarlah tu. Sebenarnya aku dapat rasakan yang hari-hari terakhir abah dah sampai, abang pun setuju. Aku ada baca tentang ini dalam satu buku. Cuma tak dapat kami nak luahkan pada mak takut mak pula tak boleh terima. Aku pun start kereta ajak abah dan mak ke klinik kat kampung, kebetulan mak memang nak ke sana sebab nak sambung ubat darah tinggi mak yang nak habis. Sebenarnya aku nak lepaskan niat abah balik kampung tengok kampung, tanah dan rumah yang dia usahakan dengan tulang empat keratnya dahulu. Dan abah cukup ceria naik kereta walaupun berbaring, macam katil kat rumah aja katanya. Dalam sejam jugalah kami kat rumah tu sempat abah tidur kejap. On the way balik rumah aku, mak kata nak duduk rumah adik aja sebab bilik air dekat dengan bilik tidur.

Malam ke tiga puluh puasa, semua datang rumah sebab abah nak berurut dengan sorang pakcik yang duduk dekat dengan rumah aku. Masa aku dukung abah keluar dari kereta, ishhh ringannya badan abah. Lepas tengah malam aku tengok abah tidur gelisah saja. Dia kata nak minum, dan lepas minum dia macam dah tak kenal kami lagi. Gelisahnya makin kuat. Lepas sembahyang subuh aku jemput jiran-jiran yang terdekat untuk sedekahkan bacaan Yasin, mohon pada Allah untuk bagi keselesaan pada abah. Naluri aku dapat merasakan yang masanya dah dekat sangat untuk abah pergi dan aku mintak mak talipon abang, adik-adik, adik beradik abah dan rakan-rakan rapat untuk datang ziarah. Pukul sembilan aku serah abah kat pangkuan adik untuk ingatkan abah pada Allah sebab nak jemput isteri aku balik dan on the way nak sampai pejabat dia, jantung aku bagai gugur. Aku tau abah dah tak ada (Entah kenapa, bergenang lagi air mata aku sekarang ni). Betul jangkaan aku, tak sampai seminit mak talipon bagitau abah dah meninggal. Innalillahi-wa-inna- ilaihi-ra-ji-un. Aku sedih yang amat tetapi aku bersyukur kerana abah pergi dengan aman dan tidak dalam keadaan sakit yang kita nampak dia tanggung dahulu.

Abah pergi meninggalkan kami semua pada hari terakhir puasa, semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang mukmin. Jenazah selamat dikebumi di kampung seperti permintaan abah. Dan abah tidak berhutang apa pun pada kami semua. Abah sempurnakan segalanya semasa hayatnya, cuma abah tak sempat lihat cucunya yang ke 17 lahir lima bulan kemudian. Pada aku, jasa dan bakti abah tak ternilai. Terima kasih abah, kami rindukan abah...




3 Comments

3 comments:

  1. semoga abah EU di tempatkan di kalangan orang yang beriman.al fatihah

    ReplyDelete
  2. cerita dari hati. sedih terasa.


    al-fatihah buat arwah abah EU

    ReplyDelete
  3. sgguh mndalam entri ni pd org yg membaca. apatah lagi org yg menulisnya..

    org tua selalu mcm tu kan.. xnak susahkan anak2 dia.. selalu pendam sorg2.. mcm arwah mak. :(

    sy pasti abah EU sgt berbangga dgn anak2nya..al-fatihah buat arwah bapa EU.. :')

    ReplyDelete

Tulisle apa pun, aku baca ^_~